DR Halimah bertemu  pengundi ketika  berkempen pada PRK di Klinik Kesihatan Kelana Jaya.
DR Halimah bertemu pengundi ketika berkempen pada PRK di Klinik Kesihatan Kelana Jaya.
Nur Lela Zulkipli

Petaling Jaya: PAS komited meneruskan perjuangannya menaikkan taraf hidup dan sosioeknomi rakyat di kawasan Seri Setia tanpa meminggirkan kepentingan kaum Cina dan India.

Calon PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Halimah Ali berkata, Pas sejak dulu lagi memberi perhatian yang sama rata kepada semua golongan termasuk kaum Cina dan India.

“Saya berjaya membuktikan bahawa PAS tidak ‘pilih kasih’ semasa tempoh saya menjadi ADUN Selat Klang di mana nasib kaum Cina di beri perhatian khusus dan diberi layanan seadilnya.

“Saya juga berjaya menyesuaikan diri di kalangan Pulau Ketam yang terdiri daripada 99 peratus penduduk Cina kerana mereka sedar PAS menghormati pegangan agama dan bangsa masing-masing,” katanya pada sidang media di Hotel Tabung Haji yang turut dihadiri Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, di sini, semalam.

Menurut Halimah lagi, tidak dinafikan cabaran utamanya ketika ini adalah membuka mata dan minda pengundi Cina di Seri Setia supaya menerima Pas sebagai pilihan berikutan pelbagai propaganda pihak tidak bertanggungjawab yang melabelkan parti tersebut bersifat ekstrem.

Bagaimanapun, katanya, reaksi agak memberangsangkan dalam kalangan pengundi Cina selepas beliau mengadakan temubual dalam talian dengan pelbagai media.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 11:34 AM