KEADAAN trafik bergerak perlahan menghala ibu negara berhampiran susur Plaza Tol Seremban, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
KEADAAN trafik bergerak perlahan menghala ibu negara berhampiran susur Plaza Tol Seremban, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Nurul Hidayah Bahaudin


ALIRAN trafik dari semua arah menghala ke ibu negara dijangka meningkat sehingga lewat malam hari ini, susulan warga kota pulang selepas bercuti sempena Aidiladha dan sesi persekolahan yang akan bermula esok.

Jumlah kenderaan di beberapa lebuh raya utama menuju ke ibu negara mulai menunjukkan pertambahan dengan aliran trafik dilaporkan perlahan sejak jam 5 petang.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, di Lebuhraya Utara-Selatan dari utara menghala ke selatan, trafik bergerak perlahan dari Terowong Menora menghala ke Jelapang dan dari Changkat Jering ke Bukit Berapit.

“Trafik juga perlahan dari Simpang Pulai ke Gopeng dan dari Hentian Ladang Bikam menghala ke Sungkai seterusnya ke Slim River.

“Di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan menghala ibu kota, trafik juga bergerak perlahan dari Pedas/Linggi ke Seremban, Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi.

ANGGOTA SPRM membawa empat individu termasuk tiga anggota polis ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi mendapatkan perintah reman, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
ANGGOTA SPRM membawa empat individu termasuk tiga anggota polis ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi mendapatkan perintah reman, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca

Katanya, di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, trafik juga perlahan dari Bentong Timur menghala ke Bentong Barat.

“Trafik turut bergerak perlahan dari Lentang ke Bukit Tinggi, dan dari Genting Sempah menghala ke Plaza Tol Gombak.

“Setakat jam 5 petang tadi, aliran trafik di beberapa lebuh raya lain masih lagi lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 6:17 PM