KEADAAN trafik mulai sesak di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Plaza Tol Tapah setakat 4 petang hari ini. FOTO L Manimaran
KEADAAN trafik mulai sesak di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Plaza Tol Tapah setakat 4 petang hari ini. FOTO L Manimaran
Fazrik Kamarudin


WARGA kota mula berpusu-pusu meninggalkan ibu kota, hari ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena Aidilfitri yang dijangka disambut, Jumaat ini.

Difahamkan, keadaan lebuh raya menghala keluar dari ibu kota mengalami peningkatan jumlah kenderaan sejak 4 petang apabila aliran trafik dilaporkan mula perlahan sekitar 6 petang hari ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi akuan Facebook rasminya memaklumkan satu laluan kontra dibuka di Kilometer 436.4 sehingga Kilometer 449.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan selepas aliran trafik semakin perlahan dari Rawang menuju ke Sungai Buaya.

“Selain itu, pergerakan trafik turut perlahan dari Slim River ke Sungkai, Bidor ke Tapah terus ke Gopeng, Jelapang ke Terowong Menora, Bukit Merah ke Alor Pongsu dan dari Juru ke Permatang Pauh.

ALIRAN trafik menghala Genting Sempah di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) bergerak perlahan pada 2 petang hari ini. FOTO Halim Salleh
ALIRAN trafik menghala Genting Sempah di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) bergerak perlahan pada 2 petang hari ini. FOTO Halim Salleh

“Trafik juga dilaporkan bergerak perlahan menuju ke arah timur di Gombak ke Genting Sempah, Bukit Tinggi ke Lentang dan 2.4 kilometer dari Plaza Tol Kuala Terengganu.

“Manakala arah selatan pula, trafik mula perlahan dari Nilai menuju Bandar Ainsdale dan dari Skudai ke Senai,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 7:01 PM