KEADAAN trafik menghala Kuala Lumpur. FOTO Twitter Plus, LLM.
KEADAAN trafik menghala Kuala Lumpur. FOTO Twitter Plus, LLM.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Aliran trafik masih perlahan di beberapa laluan sekitar lebuh raya utama, malam ini susulan orang ramai kembali ke ibu negara selepas cuti umum sempena Krismas.

Perkongsian Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Twitter menunjukkan setakat 10 malam tadi, trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) perlahan di Bertam ke Plaza Tol Sungai Dua; Perai ke Juru Utara; Bandar Baharu ke Jawi dan Changkat Jering ke Bukit Berapit.

Turut sesak di Gopeng ke kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Tapah (selatan); Bukit Tagar ke Rawang; Permatang Pauh ke Plaza Tol Sungai Dua dan Kuala Kangsar ke Changkat Jering.

Di lebuh raya sama menghala ke selatan pula, trafik dilaporkan perlahan di Nilai ke Bandar Ainsdale; Yong Peng (utara) ke Yong Peng (selatan); Ayer Hitam ke Machap dan hentian sebelah Simpang Renggam (utara) ke Senai.

Trafik menghala utara perlahan dari Bandar Ainsdale ke Nilai; Simpang Ampat ke Seremban dan Bukit Gambir ke Tangkak.

Sementara itu, di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menunjukkan trafik perlahan di Kilometer (KM) 30.9 ke Plaza Tol Gombak menghala ke pusat bandar.

Beberapa kemalangan dilaporkan di KM 277.1 arah selatan dari Nilai ke Bandar Ainsdale dan di KM 224.3 arah utara dari Simpang Ampat ke Pedas Linggi.

Tiada lorong terhalang dan trafik perlahan dilaporkan di kedua-dua lokasi kemalangan berkenaan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan Twitter @plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 dan Twitter @LLMinfotrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 11:43 PM