ANGGOTA Bomba Dan Penyelamat mengusung mayat mangsa untuk dibawa ke tebing Sungai sebaik ditemui di lokasi kejadian. FOTO Zaid Salim
ANGGOTA Bomba Dan Penyelamat mengusung mayat mangsa untuk dibawa ke tebing Sungai sebaik ditemui di lokasi kejadian. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Gara-gara ingin membetulkan mata kail yang tersangkut, seorang lelaki ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika berenang menyeberangi sungai berkenaan di Kampung Kesom Che Nordin, di sini, hari ini.

Sebelum kejadian, mangsa, Mohd Amir Rosli Mohd Razali, 25, bersama dua rakan, Ahmad Syukri Abd Aziz, 23, dan Ahmad Azim, 18, dikatakan ke sungai berkenaan untuk memancing jam 10 pagi.

Ahmad Syukri dari Kampung Ladang Fikri, Sungai Tong, Setiu, berkata, mereka sudah lama merancang untuk memancing di kawasan berkenaan tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hajat mereka tertangguh.

Menurut Ahmad Syukri, dia yang pertama kali memancing di kawasan berkenaan tidak menyangka kehilangan seorang rakan sekerja yang dikenalinya sejak dua tahun lalu.

"Kejadian berlaku apabila, arwah mahu membetulkan mata kailnya yang tersangkut pada tebing seberang sungai.

"Arwah memang pandai berenang tetapi arus sangat deras menyebabkan arwah hanyut. Melihat keadaan arwah terkapai-kapai, saya bersama adik, Ahmad Azim cuba membantu dengan menghulurkan joran dan dahan untuk mangsa berpaut namun gagal.

"Saya kemudian meminta bantuan penduduk kampung selepas mendapati kelibat arwah hilang dari permukaan air," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, berkata, seramai 16 anggota bersama pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 11.01 pagi.

"Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) mangsa dilakukan oleh tujuh anggota dari Pasukan Penyelamat DiAir (PPDA) BBP Kuala Terengganu.

"Operasi SAR mengambil masa selama kira-kira dua jam sebelum mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di dasar sungai kira-kira lima meter dari tebing tempat mangsa memancing jam 1.15 petang," katanya.

Beliau berkata, anggaran kedalaman air di lokasi mangsa ditemui sedalam kira-10 meter.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke rumah mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 5:27 PM