SUSPEK bersama minyak masak berkenaan. FOTO Ihsan PPM
SUSPEK bersama minyak masak berkenaan. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming

PASUKAN Polis Marin (PPM) Tawau menggagalkan cubaan seorang lelaki tempatan untuk menyeludup keluar 150 kotak mengandungi 2,550 paket minyak masak dalam operasi di perairan Tanjung Batu, di Tawau, petang semalam.

Barangan bersubsidi bernilai RM6,375 itu ditemui selepas sepasukan anggota PPM yang menjalankan Ops Landai Khas memeriksa sebuah bot jongkong yang dalam pelayaran ke Pulau Sebatik, kira-kira 6 petang.

Pegawai Memerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazri Ibrahim berkata, pihaknya menahan bot berkenaan yang dikendalikan seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun selepas ia dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati semua barang yang dibawa itu tidak memiliki sebarang surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Nazri berkata, pihaknya percaya semua minyak masak bersubsidi itu cuba diseludup keluar untuk dipasarkan di Indonesia.

“Turut disita, sebuah bot jongkong bersama dua unit enjin sangkut jenis Yamaha 40hp (kuasa kuda) dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM51,650.

“Suspek ditahan dan barang rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 10:27 AM