REMAJA berusia 15 maut selepas kereta yang dinaiki bersama keluarganya terbabas sebelum terbalik akibat tayar meletup di Kilometer 50.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, tengah malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
REMAJA berusia 15 maut selepas kereta yang dinaiki bersama keluarganya terbabas sebelum terbalik akibat tayar meletup di Kilometer 50.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, tengah malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Mohamed Farid Noh


REMAJA maut apabila kereta yang dinaiki bersama keluarganya terbabas sebelum terbalik akibat tayar meletup di Kilometer 50.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, S Arunkumar, 15, yang duduk di bahagian belakang kereta berkenaan maut di lokasi kejadian.

Empat lagi penumpang kereta berkenaan termasuk pemandu P Ananthan, 30, B Nagarajan, 40, S Rajamah, 53, dan S Kesokumar, 16, yang parah kini dirawat di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, ketika kejadian, mangsa bersama keluarganya itu dipercayai dalam perjalanan dari Seremban ke Johor Bahru.

"Siasatan awal mendapati apabila kereta dinaiki mangsa dan empat keluarganya itu sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba tayar belakang sebelah kiri kenderaan itu meletup dan pecah.

"Ia membuatkan kereta yang dipandu bapa saudara mangsa itu hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di longkang lebuh raya berkenaan.

"Akibat kemalangan berkenaan, Arunkumar yang duduk di bahagian belakang kereta disahkan maut di lokasi kejadian, manakala empat lagi mangsa termasuk ibu serta abangnya yang parah dikejarkan ke hopsital untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohamad berkata, siasatan mengenai kemalangan berkenaan masih berjalan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 10:25 AM