Nur Saliawati Salberi

Melaka: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri menerima sebanyak 250 #HMKotakRezeki di sini, semalam untuk diagihkan kepada pegawai dan anggota polis yang bertugas ketika waktu berbuka puasa.

Sumbangan itu diserahkan kepada Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Jalil Hassan oleh Ketua Biro The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Badrul Hizar Ab Jabar pada majlis ringkas di lobi IPK Melaka.

Abdul Jalil turut melahirkan penghargaan kepada Harian Metro (HM) serta penaja atas ingatan kepada warga IPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka.

Beliau berkata, masing-masing 50 kotak itu akan diagihkan kepada IPD Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin, manakala baki 100 kotak lagi untuk warga IPK Melaka.

BADRUL Hizar  (tengah) bersama  Abdul Jalil (kiri) menyerahkan #HMKotakRezeki  di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang.
BADRUL Hizar (tengah) bersama Abdul Jalil (kiri) menyerahkan #HMKotakRezeki di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang.

“Kami warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan jutaan terima kasih kepada HM yang sudi berkongsi rezeki dan menghargai tugas anggota polis.

“Semoga dengan ini hubungan petugas media dan polis terus berkekalan dan saling bekerjasama kerana kita saling memerlukan,” katanya pada majlis penyerahan itu.

#HMKotakRezeki 2018 dijayakan bersama Affin Bank selaku penaja utama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 10:13 AM