MAHFUZ. FOTO Arkib NSTP
MAHFUZ. FOTO Arkib NSTP
Petah Wazzan Iskandar


HAK golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak akan dilayan secara melulu tetapi hanya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan sebagai warga negara tanpa mengenepikan identiti asal.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, golongan terbabit perlu dibantu kembali kepada identiti asal dengan kaedah yang lembut dan mendidik bukannya meminggirkan mereka.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, setakat ini, pihaknya belum mempunyai sebarang rekod terdapat isu diskriminasi terhadap golongan terbabit tetapi tidak menafikan ia mungkin wujud cuma takut untuk melaporkan kerana boleh dibuang kerja.

“Namun, dalam mempertahankan mereka. Ia perlu selaras dengan hak mereka sebagai warga negara bukannya mengiktiraf apa jua kehendak mereka secara total.

“Seperti aspek tandas dan tempat solat, sekiranya mereka ini lelaki, gunalah tandas lelaki.. Seseorang itu perlu sedar asal kelahirannya. Nanti celaru habis masyarakat kita ini.

“Apa yang penting kita perlu berusaha bersama-sama memberi kesedaran dan membantu supaya golongan terbabit dapat kembali ke identiti asal. Jika asalnya lelaki, maka ia perlu kembali kepada lelaki, begitu juga sebaliknya,” katanya yang ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Convent Alor Setar 2018 di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang meminta masyarakat jangan mendiskriminasikan golongan transgender kerana keengganan memberi layanan sama rata menyebabkan mereka tidak boleh berdikari lalu terjerumus ke lembah pelacuran, Jumaat lalu.

Mahfuz berkata, rakyat janganlah melihat perkara ini dalam rangka yang salah tetapi lihatlah konteks membawa golongan terbabit balik ke identiti asal sekali gus menjalani kehidupan yang normal.

“Kita jangan menganggap golongan itu sebagai ancaman dan bahaya tetapi carilah cara menyelamatkan generasi baharu iaitu anak-anak kita yang harus didik kenal identiti masing-masing sejak dari bangku sekolah.

“Jika ibu bapa dan guru melihat anak terbabit berkelakuan secara berlawanan sama ada lelaki lembut atau wanita kasar maka segeralah membantunya supaya kembali ke identiti asal.

“Janganlah mengherdik, menghina atau memperkecilkan golongan terbabit kerana kaedah sebegitu tidak akan selesaikan masalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 2:40 PM