ANTARA jalan di bandar Tawau ditenggelami air selepas hujan lebat hampir lima jam. FOTO Abdul Rahemang Taiming
ANTARA jalan di bandar Tawau ditenggelami air selepas hujan lebat hampir lima jam. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming

BEBERAPA jalan utama di pusat bandar Tawau ditenggelami air susulan hujan lebat hampir lima jam, sejak 4 pagi, hari ini.

Antara laluan utama yang terjejas termasuk Jalan Tanjung Batu, Jalan Chester, Sin Onn, Batu 2 Jalan Apas menghala ke Simpang Empat Takada yang digenangi air sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

Tinjuaan mendapati, beberapa kenderaan turut tersadai di tepi jalan selepas mengalami kerosakan selain ada yang terpaksa ditolak dengan bantuan daripada orang ramai.

Bagaimanapun setakat 9.30 pagi tadi, keadaan lalu lintas masih terkawal dengan beberapa jalan masih ditakungi air hujan yang melimpah daripada longkang besar di tepi jalan.

Kakitangan awam, Jusman Hedoh, 38, berkata, banjir kilat di daerah Tawau bukan perkara baharu malah setiap kali hujan lebat, kawasan rendah termasuk jalan raya utama pasti dilanda bajir kilat.

“Sudah sampai masanya, pihak berwajib menaiktaraf sistem saliran dan perparitan selain membesarkan sungai yang semakin cetek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Tawau, Sharudy Delamim berkata, setakat ini pihaknya hanya membuat pemantauan di beberapa lokasi yang dilaporkan terjejas.

“Awal pagi ini kita terima lima panggilan sebelum beberapa buah jentera di gerakkan ke lokasi termasuk kawasan kampung dan taman perumahan. Bagaimanapun, tiada penduduk dipindahkan.

“Setakat ini pemantauan berterusan masih dijalankan, dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 1:27 PM