Jiran menunjukkan belakang rumah tempat wanita buta warga emas dibiarkan bersendirian oleh anak saudaranya ketika mereka keluar bekerja di Taman Siakap, Seberang Jaya, Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
Jiran menunjukkan belakang rumah tempat wanita buta warga emas dibiarkan bersendirian oleh anak saudaranya ketika mereka keluar bekerja di Taman Siakap, Seberang Jaya, Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
Hadzlihady Hassan


“SETIAP kali menjelang malam, saya terdengar bunyi bising dan jeritan di belakang rumah,” kata lelaki mahu dikenali sebagai Wan, 20-an yang juga jiran kepada wanita warga emas yang menjadi mangsa dera oleh anak saudaranya di Taman Siakap, Seberang Jaya, di Bukit Mertajam.

Wan baru setahun berpindah berkata pernah melihat warga emas yang cacat penglihatan itu berada di belakang rumah ketika siang hari.

“Hampir setiap hari kami sekeluarga akan mendengar bunyi bising wanita terbabit dimarahi ahli keluarganya di belakang rumah.

“Bunyi bising itu dipercayai kerana wanita berkenaan tidak mahu dimandikan terlebih dahulu sebelum dia dibenarkan masuk ke rumah berikutan dia membuang air kecil dan besar dalam pakaiannya,” katanya.

Menurutnya, selain itu dia juga pernah beberapa kali mendengar bunyi seperti dipukul namun enggan mencampuri urusan jirannya.

“Saya memang tidak mahu masuk campur urusan orang lain kerana ahli keluarga terbabit juga kurang bergaul dengan orang sekeliling.

“Bagaimanapun, saya agak terkejut apabila mendapat tahu ahli keluarganya ditahan polis kerana mendera wanita warga emas berkenaan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Deva, 50-an berkata, pernah melihat wanita warga emas terbabit di belakang rumah dengan keadaan basah kuyup dari tingkat dua rumahnya.

“Saya difahamkan, wanita itu tinggal di kawasan sama namun rumahnya disewa kepada orang lain dan kemudian diambil tinggal di situ oleh anak saudaranya.

“Namun, mereka kurang bergaul dengan penduduk dan saya difahamkan ada jiran mengadu serta merakam video mangsa yang dibiarkan di belakang rumah terbabit sebelum diserahkan kepada wakil NGO,” katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 79 tahun bengkak di kepala, lebam tangan kanan dan luka bibir akibat didera anak saudara, isteri dan anak mereka.

Mangsa dipercayai dipukul dengan kasut, penyapu serta pinggan mangkuk dan diberi makan secara tidak menentu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, perbuatan suspek terbongkar selepas beberapa jiran membuat aduan kepada wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kemudian membuat tinjauan di rumah terbabit.

“Wakil NGO berkenaan kemudian melihat seorang wanita warga emas di bahagian belakang rumah dalam keadaan basah kuyup.

“Ketika ditanya, wanita terbabit mendakwa dia disimbah air oleh anak saudaranya dan disuruh duduk di belakang rumah,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa juga menceritakan yang dia kerap dipukul anak saudara, isteri dan anak mereka selain mendakwa diberi makan secara tidak menentu.

“Mangsa memberitahu dia tidak mempunyai saudara mara lain dan tinggal di rumah teres dua tingkat terbabit sejak tiga tahun lalu.

“Dia juga mendakwa kerap dipukul dengan penyapu, kasut serta pinggan mangkuk dan kerap dipaksa duduk di belakang rumah ketika semua penghuni keluar bekerja,” katanya.

Menurutnya, wakil NGO terbabit merakam video pengakuan mangsa dan mereka kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

“Susulan daripada itu, sepasukan polis ke lokasi kejadian dan menyelamatkan mangsa yang kemudian dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan.

“Susulan daripada itu, dua suspek yang berusia 54 dan 56 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan NSTP di belakang rumah terbabit mendapati hanya ada sebuah bangku rotan dan pili air ditempatkan di situ.

Bangku rotan terbabit dipercayai digunakan mangsa untuk duduk sementara menunggu anak saudaranya pulang daripada tempat kerja.

Malah, ada juga najis manusia bertaburan dipercayai kerana mangsa membuang air besar berikutan dia dikurung di belakang rumah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 6:42 PM