HANTARAN dimuat naik remaja lelaki yang memaklumkan ibunya dipukul bapanya dalam kejadian di rumah mereka di Taman Melati Utama, Kuala Lumpur, semalam.
HANTARAN dimuat naik remaja lelaki yang memaklumkan ibunya dipukul bapanya dalam kejadian di rumah mereka di Taman Melati Utama, Kuala Lumpur, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Hantaran tular di media sosial serta bunyi bising membongkar tindakan seorang lelaki yang memukul isteri dan anaknya di rumah mereka di Taman Melati Utama, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya mengesan satu hantaran berkaitan pergaduhan suami isteri yang mendatangkan kecederaan tular di Twitter.

"Semakan dilakukan mendapati seorang wanita tempatan berusia 44 tahun serta anak lelakinya berusia 14 tahun dipercayai dipukul oleh suaminya, 44, di kediaman mereka di Taman Melati Utama.

"Hantaran yang tular di media sosial serta bunyi bising menyebabkan jiran datang ke kediaman mereka untuk meredakan keadaan. Pihak Polis juga hadir lokasi kejadian dan membawa isteri serta anaknya ke Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ashari berkata, siasatan dilakukan mendapati pergaduhan itu berlaku akibat suspek memarahi dan menuduh isterinya mengambil wang miliknya.

"Mangsa dikatakan hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan, namun menyebabkan suspek berang dan memukul mangsa serta anak mereka yang cuba meleraikan pergelutan itu.

"Selepas pergelutan itu, anak mangsa memuat naik hantaran berkaitan pergaduhan terbabit yang kemudian tular di Twitter sebelum ia disedari suspek jam 1.17 tengah hari. Ini menyebabkan suspek sekali lagi menyerang anak lelakinya itu," katanya.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju kerana bimbang dengan keselamatan diri serta ahli keluarga yang lain.

"Susulan laporan itu, kami menahan suspek dan permohonan reman akan dibuat hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 3:59 PM