JENAZAH Mahadzir disembahyangkan di Masjid Negeri, Sembulan sebelum diterbangkan ke Kuala Lumpur, malam ini. FOTO Khairull Azry Bidin.
JENAZAH Mahadzir disembahyangkan di Masjid Negeri, Sembulan sebelum diterbangkan ke Kuala Lumpur, malam ini. FOTO Khairull Azry Bidin.
Mohd Nazllie Zainul


JENAZAH Datuk Mahadzir Lokman akan dibawa pulang ke ibu negara dengan pesawat Malaysia Airlines MH2639, 9.25 malam ini.

Adik Allahyarham, Ida Lokman ketika ditemui di Unit Forensik Patologi, Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu, berkata jenazah kemudian akan dibawa ke rumah keluarganya di Petaling Jaya, Selangor.

“Jenazah abang dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur, esok,” katanya.

Pada 6.40 petang hari ini jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Negeri di Sembulan untuk disembahyangkan.

Ida turut merakamkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib kerana membantu serta mempercepatkan proses membawa balik jenazah ke Kuala Lumpur.

Terdahulu, Ida bersama seorang lagi ahli keluarga yang menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur, tiba di Unit Forensik Patologi, QEH pada 5.40 petang.

Mereka tiba dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) milik Hotel Shangri-La Tanjung Aru Resort.

Mahadzir, 61, yang tiba di Kota Kinabalu pada 31 Julai lalu, ditemui meninggal dunia di bilik penginapannya di Hotel Shangri-La Tanjung Aru Resort, pada 9.30 pagi tadi.

Pada September tahun lalu, Allahyarham pernah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur kerana masalah buah pinggang dan paru-paru.

Sementara itu, rakan Allahyarham, Audra Webber, 40-an, berkata Mahadzir sudah menganggap Sabah sebagai rumah kedua dan sering datang ke negeri ini sama ada untuk bercuti atau urusan kerja.

Audra berkata, dia mendapat tahu mengenai kematian pengacara tersohor itu selepas dimaklumkan seorang rakan pada 11 pagi, namun pada mulanya menganggap ia hanya khabar angin, tetapi terkejut apabila berita itu disahkan.

“Beliau seorang rakan yang baik dan sentiasa cuba menghubungi rakan lamanya di Kota Kinabalu setiap kali datang ke Sabah,” katanya.

Berita berkaitan

'Abang Dale pemurah, penyayang - Ezzah Aziz'

'[UPDATE] 'Selamat pagi' terakhir dari Mahadzir'

'[UPDATE] 'Sedih sangat''

'Mahadzir Lokman sudah tiada'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 9:09 PM