KEADAAN bilik asrama berselerak yang tular di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN bilik asrama berselerak yang tular di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca
Abnor Hamizam Abd Manap


POLIS mengesahkan menerima laporan kejadian buli yang didakwa berlaku di sebuah sekolah menengah berasrama di Kuala Klawang, Jelebu, yang tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, seorang pelajar berusia 15 tahun tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Klawang pada jam 3 petang semalam.

“Dia membuat laporan mendakwa dipukul oleh sekumpulan pelajar lain. Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kejadian itu menjadi tular di media sosial Facebook apabila seorang lelaki memuat naik gambar sebuah bilik dipercayai asrama pelajar junior dalam keadaan berselerak didakwa akibat digeledah sekumpulan pelajar senior yang tidak berpuas hati.

Pelajar senior terbabit dikatakan berang apabila rakan mereka dikenakan tindakan oleh pihak sekolah kerana membuli seorang pelajar junior sehingga menyebabkan kecederaan.

Sementara itu, pengurusan sekolah berkenaan ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak boleh mengeluarkan kenyataan berikutan kes berkenaan dalam siasatan polis.

“Saya tidak mahu menafikan atau mengesahkan kejadian dipercayai buli yang berlaku di sini. Jika ada pelajar yang sudah membuat laporan polis, ia sudah menjadi kes polis dan tidak wajar saya mengulasnya lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 6:40 PM