KOMPONEN lori yang dirampas. Foto STR/ABNOR HAMIZAM
KOMPONEN lori yang dirampas. Foto STR/ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


SEORANG lelaki yang sedang menjalani hukuman buang daerah selama dua tahun ditangkap polis kerana mencuri komponen lori, di Jelebu, semalam.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek berusia 36 tahun itu menjalani hukuman bermula Mei lalu hingga Mei 2020 atas kesalahan mencuri lori di Selangor.

Katanya, suspek ditangkap tidak sampai tiga jam selepas seorang lelaki berusia 51 tahun membuat laporan kehilangan komponen lori miliknya di Balai Polis Kuala Klawang, pada jam 8.47 pagi semalam.

"Lori berkenaan diparkir di hadapan sebuah kedai di pekan Kuala Klawang dan kehilangan komponen kenderaan itu disedari pemilik yang mahu menghidupkan enjin.

"Berdasarkan laporan itu, anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu menjalankan gerakan memburu suspek.

"Suspek kemudian ditemui sedang memandu kereta di hadapan deretan kedai di Taman Bukit Kempas di Titi dekat Jelebu dan ditangkap pada jam 11.20 pagi hari sama," katanya kepada NSTP, hari ini.

Kamarul Rizal berkata, polis yang menjalankan pemeriksaan terhadap kereta Proton Preve milik suspek menemui barang peralatan yang digunakan untuk mencuri.

"Suspek yang mengaku mencuri komponen lori berkenaan kemudian membawa polis ke taman perumahan sama sebelum menemui barang curi di dalam rumah sewanya.

Katanya, polis merampas semua komponen curi ditemui termasuk kereta milik suspek bagi siasatan mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan.

Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 11:02 AM