Abdul Mutallif merakam gambar wayar CCTV yang dipotong di Masjid al-Ehsan di kampung Londang, Masjid Tanah.
Abdul Mutallif merakam gambar wayar CCTV yang dipotong di Masjid al-Ehsan di kampung Londang, Masjid Tanah.
Hassan Omar

Alor Gajah: Sudahlah wang tunai dalam masjid dicuri, wayar kamera litar tertutup (CCTV) juga dipotong.

Tindakan itu dipercayai dilakukan pencuri bertujuan mengelakkan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah di sini, mengenal pasti dalang kejadian itu.

Difahamkan, kejadian antara jam 10 malam kelmarin hingga awal pagi semalam hanya disedari kariah masjid itu ketika hendak menunaikan solat Subuh jam 5 pagi.

Kejadian dimaklumkan kepada pengerusi masjid Datuk Abdul Mutallif Che Mat dan Imam 1, Mohd Nawawi Ahmad.

Abdul Mutallif berkata, berdasarkan pemeriksaan pihaknya percaya penjenayah mengumpil dari luar tingkap di dewan solat utama sebelum membengkokkan jeriji.

Menurutnya, perbuatan yang dipercayai dilakukan lebih daripada seorang mengopak tombol pintu bilik CCTV sebelum memotong wayar peralatan itu bagi mengelakkan tindakan mereka dirakam.

“Kami percaya penjenayah bertubuh kecil berdasarkan jeriji besi tingkap yang dibengkokkan itu hanya mampu lolos orang bertubuh seperti itu.

“Turut hilang wang tunai RM200 yang disembunyikan di sebalik kitab al-Quran dan buku agama dalam almari buku.

Bagaimanapun, peti besi di luar dewan solat tidak dipecahkan, mungkin kerana mereka tidak mempunyai peralatan untuk memotong mangga dan rantai besi yang dipasang pada peti itu,” katanya.

Abdul Mutallif berkata, penjenayah dipercayai menggunakan kerusi untuk mengubah kedudukan CCTV di pintu masuk dewan solat utama bagi mengelakkan wajah mereka dirakam.

“Kami percaya mereka masuk dari ruang solat wanita sebelum memanjat kerusi untuk mengubah kedudukan CCTV terbabit.

“Bagaimanapun, AJK masjid memutuskan tidak membuat laporan polis kerana berdasarkan pengalaman sebelum ini (laporan berhubung kejadian sama), penjenayah tidak pernah ditangkap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 10:09 AM