Rakaman CCTV tiga remaja mencuri di Masjid Permatang Janggus. FOTO ihsan pembaca.
Rakaman CCTV tiga remaja mencuri di Masjid Permatang Janggus. FOTO ihsan pembaca.
Shamsul Munir Safini


TAK puas hati kerana hanya dapat menyamun RM5 dari tabung masjid, tiga remaja lelaki bertindak melarikan televisyen sebelum aksi mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Dalam kejadian jam 3.45 pagi di Masjid Permatang Janggus di Permatang Pauh yang lebih dikenali sebagai Masjid Batu itu, tiga remaja memecah masuk ke kawasan solat wanita sebelum melarikan wang RM5 di dalam tabung di situ.

Difahamkan, penjenayah yang tidak berpuas hati dengan hasil curi itu bertindak melarikan televisyen LCD 49 inci.

Aksi suspek yang berjaya dirakam CCTV itu menunjukkan mereka masuk melalui pintu belakang ruang solat wanita dengan seorang daripada mereka merangkak konon bagi mengelak wajahnya dirakam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya sudah menerima laporan daripada pengurusan masjid dan sedang memburu suspek.

Nik Ros Azhan berkata, pihaknya sudah meneliti rakaman CCTV masjid dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 5:39 PM