Kamarudin menunjukkan RM1 yang ditinggalkan pencuri. Keadaan peti besi dalam masjid yang diumpil. FOTO Zuhairi Zuber
Kamarudin menunjukkan RM1 yang ditinggalkan pencuri. Keadaan peti besi dalam masjid yang diumpil. FOTO Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin


EMPAT tabung sumbangan termasuk khusus untuk Aman Palestin di Masjid al-Ehsan, Limbongan, Melaka dipecah penjenayah awal pagi semalam sehingga menyebabkan kerugian lebih RM2,000.

Pengerusi masjid, Kamarudin Mohd Ali berkata, kejadian disedari kira-kira 6 pagi oleh jemaah yang mahu menunaikan solat Subuh selepas mendapati tabung di dinding masjid pecah manakala peti besi terbalik.

“Saya syak pencuri masuk dengan mengumpil jeriji besi yang dipasang di tingkap sebelum memecahkan tiga tabung pada dinding serta sebuah tabung kutipan Aman Palestin.

“Sebuah lagi peti besi gagal diumpil namun kita anggarkan kerugian lebih RM2,000 kerana tabung kutipan Aman Palestin itu tidak dibuka sejak tiga bulan lalu," katanya ditemui di Masjid al-Ehsan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam dua peti pada dinding mendapati pencuri meninggalkan RM1 pada setiap peti seakan-akan dijadikan 'ibu duit'.

Menurutnya, kejadian itu yang kedua sejak tiga tahun lalu, malah peti besi hijau seberat 60 kilogram pernah ditemui di tepi pantai di kawasan berdekatan selepas gagal diumpil.

"Masjid ini mampu memuatkan kira-kira 700 jemaah pada waktu solat Jumaat dan ramai yang bersedekah, mungkin disebabkan itu juga ia menjadi sasaran pencuri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 6:46 PM