SETIAP pagi depan hotel penginapan jemaah Malaysia bagaikan pasar. FOTO Yusri Abdul Malek
SETIAP pagi depan hotel penginapan jemaah Malaysia bagaikan pasar. FOTO Yusri Abdul Malek
Yusri Abdul Malek


“LELONG...lelong...murah...murah.” Itu laungan kedengaran setiap pagi selepas Subuh di depan pintu masuk lobi Hotel Abraj Al-Janadriyah kerana puluhan peniaga menjual pelbagai barangan terutama makanan dan cenderamata.

Kebanyakan peniaga dalam kalangan warga Pakistan, Afrika, Pattani dan warga tempatan itu akan cuba bagi menarik perhatian jemaah Malaysia yang baru pulang dari menunaikan solat Subuh di Masjidilharam.

Kedudukan hotel yang kurang satu kilometer dari masjid suci itu memudah jemaah untuk mengerjakan ibadah pada bila-bila masa.

Bagi peniaga Pakistan, mereka kebanyakannya menjual tasbih atau minyak wangi.

Biasanya mereka akan mendekati jemaah dan menawarkan tasbih kononnya diperbuat daripada kayu koka pada harga diskaun.

SR1 untuk satu barang adalah harga paling murah dijual peniaga. FOTO Yusri Abdul Malek
SR1 untuk satu barang adalah harga paling murah dijual peniaga. FOTO Yusri Abdul Malek

Begitu juga mereka yang menjual minyak wangi, peniaga melumurkan sedikit pewangi itu ke tangan jemaah. Kalau berkenan harga boleh runding.

Peniaga Afrika terdiri daripada wanita pula menjual pakaian lelaki seperti seluar panjang, jubah lelaki dan ketayap serta cenderamata.

Bagi peniaga Pattani, mereka banyak menjual makanan citarasa Malaysia seperti nasi lemak, laksam, nasi kerabu dan kuih muih Melayu.

Mereka menjual pada harga SR3 sepaket iaitu beza SR1 dengan makanan sama yang dijual di kafe hotel sebanyak SR4.

Peniaga Pattani menjual pelbagai barang kemas pada harga murah. FOTO Yusri Abdul Malek
Peniaga Pattani menjual pelbagai barang kemas pada harga murah. FOTO Yusri Abdul Malek

Peniaga tempatan ada yang menjual sejadah dan jubah serta perhiasan dinding. Ada juga menjual buah-buahan seperti pisang, epal dan aprikot.

Boleh dikatakan setiap pagi amat meriah kerana jemaah Malaysia memang terkenal dengan sifat suka membeli dan memberi peluang peniaga mendapat sedikit keuntungan.

Ini terbukti apabila walaupun ada jemaah negara lain di kawasan sama tetapi jemaah Malaysia yang menjadi tumpuan peniaga.

Perniagaan tamat jam 7 pagi kerana cuaca mulai panas. Begitulah seterusnya sehingga musim haji selesai.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 12:12 PM