Kristy Inus

Foto Khairull Azry Bidin

PADAH cuba menyogok anggota polis, seorang ibu tunggal dipenjara tujuh hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, hari ini.

Wong Ming Cheng, 27, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh menawarkan wang tunai RM1,200 kepada pegawai polis yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Kinabalu antara jam 4.40 hingga 4.50 pagi pada 18 Februari lalu.

Wang itu adalah sebagai dorongan supaya dia tidak dikenakan tindakan undang-undang kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi batas, iaitu kesalahan mengikut Seksyen 45 (A) (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Tertuduh yang juga ahli perniagaan dan tidak diwakili peguam, sebelum itu meminta hukuman ringan atas alasan mempunyai anak berusia 10 tahun dan menyedari kesalahannya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa SPRM, Awang Shamsul Baharom Bongsu pula berkata, hukuman dikenakan seharusnya menjadi pengajaran kepada tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 2:34 PM