Raymond dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas dakwaan salah guna kuasa. FOTO Malai Rosmah Tuah
Raymond dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas dakwaan salah guna kuasa. FOTO Malai Rosmah Tuah
Norasikin Daineh


SEORANG penolong jurutera di Jabatan Kerja Raya (JKR) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas dakwaan salah guna kuasa dengan memberikan kontrak kepada sebuah syarikat yang dimiliki anaknya, pada tahun 2010.

Tertuduh, Chong Min Hiong@Raymond Chong, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Menurut pertuduhan, tertuduh secara rasuah menggunakan kedudukan atau jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penilaian Sebutharga dengan memperakukan cadangan pemilihan syarikat JR Enterprise yang dimiliki oleh anaknya iaitu Patrecia Chong@Patrecia Raymond.

Ia bagi mendapatkan projek pembaikan segera Jalan Hamad Kitapol Kilometer 1.4 hingga Kilometer 6.8 Tuaran dengan jumlah RM49,200.

Tertuduh didakwa  melakukan perbuatan itu di Pejabat JKR Tuaran pada 29 Oktober 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Abu Bakar menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan deposit RM6,000 bersama seorang penjamin tempatan.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport dan perlu melapor diri di pejabat SPRM, sebulan sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Rustam Sanip, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Dominic Chew Ban Huat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 5:07 PM