Faris Fuad


KERETA dipercayai dicuri ‘terbang’ merempuh gerai berdekatan jejantas berhadapan Institut Latihan Perindustrian (ILP), di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, 8.30 pagi, hari ini.

Saksi kejadian, Mohd Nur Firdaus Mat Robi, 31, berkata, sebelum rempuhan berkenaan, kereta itu yang dipandu laju dilihat ingin membelok masuk ke Jalan Kuchai Maju 3 namun gagal berbuat demikian akibat kesesakan trafik dan kereta yang banyak.

"Kereta itu yang laju nak pusing kiri (tetapi) tak lepas, nak elak kenderaan lain menyebabkan kereta itu rempuh gerai berkenaan.

"Mangsa mengalami kecederaan agak teruk dan sudah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan selanjutnya.

"Kereta itu pula akan ditarik oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan dihantar ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee untuk siasatan selanjutnya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

KERETA yang terbabas merempuh gerai di Jalan Kuchai Lama. FOTO Nurul Shafina Jemenon
KERETA yang terbabas merempuh gerai di Jalan Kuchai Lama. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Sementara itu, pemilik gerai itu, Sariah Yakin, 58, berkata, dia mendapat berita mengenai kereta terbang itu yang dilihat menyebabkan kerosakan gerainya hampir 80 peratus daripada penduduk sekitar.

"Saya biasa berniaga di sini jual kuih. Selalu mula jual kuih pada 9.30 pagi.

"Sudah berniaga di sini lebih tujuh tahun, kejadian itu yang pertama seumpama ini.

"Ketika ini, anak cuba untuk membaiki gerai termasuk melihat apa langkah susulan perlu diambil susulan kejadian berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 11:37 AM