Siraj Mohd Zaini


KERETA dipandu laju menjadi punca Perodua Myvi hilang kawalan sehingga terbabit dengan kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Rabu lalu.

Rakaman kejadian itu tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen mengenai pemanduan berbahaya kereta berwarna biru berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintendan Azman Shariat berkata, dalam kejadian pada 5.55 petang itu, dua kenderaan lain yang terbabit ialah Honda City dan Perodua Myvi berwarna hitam.

“Siasatan polis mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu Perodua Myvi berwarna biru iaitu lelaki berusia 20 tahun yang gagal mengawal kenderaan akibat memandu melebihi had laju dibenarkan dan gagal memotong kereta Perodua Myvi berwarna hitam.

“Kereta berwarna biru itu kemudiannya melanggar Honda City di lebuh raya berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu ketiga-tiga kenderaan yang terbabit dengan kemalangan itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pihak polis meminta orang ramai yang melihat kemalangan termasuk individu yang merakam kejadian itu agar tampil melengkapkan siasatan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

RAKAMAN dashcam yang menunjukkan Perodua Myvi biru melanggar Perodua Myvi hitam akibat dipandu terlalu laju. FOTO Ihsan Pembaca
RAKAMAN dashcam yang menunjukkan Perodua Myvi biru melanggar Perodua Myvi hitam akibat dipandu terlalu laju. FOTO Ihsan Pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 11:44 AM