KEBAKARAN tangki berkenaan. FOTO Rozainah Zakaria
KEBAKARAN tangki berkenaan. FOTO Rozainah Zakaria
Rosli Ilham


POLIS bersedia memindahkan penduduk yang tinggal berdekatan dengan kawasan kebakaran tangki minyak mentah milik di Teluk Kalong dekat Kemaman, sekiranya keadaan bertambah parah.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, terdapat kira-kira 2,000 penduduk dari Kampung Bukit Kuang, Teluk Kalong dan Kijal tinggal berhampiran dengan lokasi kebakaran itu.

Menurutnya, proses perpindahan itu bergantung kepada tahap kualiti udara yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dari semasa ke semasa.

“Kita sudah minta semua ketua kampung supaya memaklumkan penduduk supaya segera meninggalkan kediaman sekiranya situasi lebih buruk.

“Sekiranya perkara ini berlaku, kita akan berbincang dengan kerajaan negeri termasuk menempatkan penduduk di kawasan selamat," katanya ketika mengadakan lawatan ke lokasi kebakaran kilang terbabit, hari ini.

Aidi seterusnya meminta orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan kebakaran dengan lebih dekat termasuk untuk tujuan merakam gambar.

“Kita beri amaran ini bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Tinjauan NSTP mendapati operasi memadam kebakaran tangki minyak mentah terbabit masih lagi giat dilakukan pihak bomba.

Setakat ini, kebakaran tidak mendatangkan kemudaratan kawasan perumahan dan premis perniagaan berhampiran.

Dalam kejadian 6. 15 petang semalam, tiga tangki simpanan berkapasiti 20,000 liter padu minyak mentah terbakar.

Kebakaran itu menyebabkan kawasan sekitar kilang terbabit dipenuhi asap hitam tebal.

Kejadian turut menyebabkan seorang pekerja kontrak, Rosli Muhamad, 42, melecur di bahagian muka dan tangan kanannya.

Mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Berita berkaitan

Tangki simpanan minyak terbakar [METROTV]

[UPDATE] Api merebak ke tangki ketiga

[UPDATE] Bukan enam mati, tapi... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 8:06 PM