MOHAMAD (kanan) menyampaikan sijil kepada graduan di majlis Konvokesyen PERHEBAT ke-51 di Dewan Besar PERHEBAT di Sungai Buloh, hari ini. FOTO Zunnur Al Shafiq
MOHAMAD (kanan) menyampaikan sijil kepada graduan di majlis Konvokesyen PERHEBAT ke-51 di Dewan Besar PERHEBAT di Sungai Buloh, hari ini. FOTO Zunnur Al Shafiq
Nor Azizah Mokhtar


KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) akan mempertimbangkan untuk menaikkan semula peruntukan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) daripada RM27 juta kepada RM32 juta.

Menterinya Mohamad Sabu berkata, pihaknya sedar peranan penting yang dimainkan oleh PERHEBAT untuk melatih bakal pesara tentera dalam pelbagai bidang kemahiran sebagai persediaan persaraan mereka.

“Bajet (peruntukan) memang kurang tetapi kita akan cuba lihat dan cari jalan... kekurangan tidak banyak dan mereka dapatkan jalankan kerja seperti biasa, ini bergantung kepada kemampuan (kerajaan).

“Saya akan perjuangkan peruntukan kepada PERHEBAT kerana ia amat memberi manfaat kepada pesara,” katanya kepada pemberita di Kem Sungai Buloh, Sungai Buloh, hari ini.

Beliau sebelum itu menyempurnakan majlis Konvokesyen PERHEBAT ke 51 yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Pengerusi PERHEBAT, Leftenan Jeneral Datuk Seri Abdul Aziz Ibrahim.

Pada majlis itu, Mohamad turut menyampaikan sijil tamat kursus kepada 713 graduan selain Anugerah Pelatih Terbaik kepada Azlan Amir yang mengikuti Kursus Pembangunan Profesional selama 12 bulan di PERHEBAT selain Anugerah Ikon Keusahawanan kepada 10 bekas pelatih PERHEBAT yang berjaya membuka perniagaan sendiri.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Abdul Aziz memberitahu kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM32 juta setahun kepada PERHEBAT bagi menampung kos latihan 5,000 pesara, namun dipotong kepada RM27 juta sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, pemotongan peruntukan itu bukan sahaja menjejaskan kebajikan lebih 300 tenaga pengajar dan kakitangannya, malah kepada kualiti latihan peserta kursus.

“Apabila peruntukan dipotong, kita tidak dapat beri pinjaman seperti perumahan serta kenderaan kepada kakitangan kira-kira 300 kakitangan kita.. walaupun ia babitkan organisasi yang kecil namun fungsinya amat besar.

“Peruntukan dikurangkan tetapi jumlah pelatih tetap sama iaitu kira-kira 5,000 pelatih di seluruh negara termasuk jangka masa latihan iaitu antara tiga sehingga 18 bulan,” katanya.

Katanya, kekurangan peruntukan turut menjejaskan kualiti latihan di mana anggaran kos latihan yang boleh diperuntukkan untuk setiap pelatih hanya sekitar RM16 sehari untuk 5,000 bakal pesara.

"Jika dulu peserta kursus kulinari boleh membakar lebih lima biji kek untuk memastikan dia benar-benar mahir, namun sekarang kita mungkin terpaksa mengurangkannya kepada dua biji kek saja,” katanya.

Sejak PERHEBAT ditubuhkan pada 1996, lebih 200,000 pesara menerima latihan dalam pelbagai kemahiran antaranya binaan dan kejuruteraan, peruncitan, pembuatan, industri asas tani, penternakan dan perikanan serta makanan dan minuman.

Ini sebagai persediaan mereka menyambung kerjaya sebagai orang awam selepas tamat perkhidmatan sekurang-kurangnya untuk tempoh 21 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 7:08 PM