Menteri Sumber Manusia, Steven Sim ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Pelancaran 'Veteran MyWIRA' Program Kesinambungan Kerjaya di Setia Spice Convention Centre, Bayan Lepas hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Pelancaran 'Veteran MyWIRA' Program Kesinambungan Kerjaya di Setia Spice Convention Centre, Bayan Lepas hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Kementerian Sumber Manusia menyasarkan sebanyak 5,000 pekerjaan berkualiti dengan gaji lumayan bagi dipadankan kepada pesara tentera menerusi 'Program Kesinambungan Kerjaya VETERAN MyWIRA'.

Program dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (Perhebat) bagi membantu pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapatkan pekerjaan selepas tamat perkhidmatan.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, program berkenaan selaras dengan prinsip pekerjaan bermakna dalam kerangka Ekonomi Madani.

Menurutnya, ia selaras dengan tiga tunjang asas yang diterapkan dalam kementerian iaitu memperkukuhkan kebajikan pekerja, meningkatkan kemahiran dan produktiviti tenaga kerja.

"Veteran ATM memiliki kepakaran berharga dengan kemahiran khusus dan terpakai yang diperlukan dalam sektor E&E dan aeronautik, jadi gaya hidup yang tersusun dalam tentera menanamkan kepada mereka tahap disiplin, profesionalisme dan komitmen tinggi.

"Menerusi program ini, veteran ATM akan dapat meningkatkan kemahiran selaras dengan permintaan pasaran pekerjaan dan peralihan bagi menyesuaikan dalam sektor swasta sekali gus menjadi sumbangan terbesar ekonomi negara dan kebolehpasaran mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran program berkenaan di Pusat Konvensyen Setia Spice, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat TalentCorp, Thomas Mathew dan Naib Presiden Micron Memory Malaysia, Ramu Iyer.

Sim berkata, jika program rintis VETERAN MyWIRA ini berjaya, pihaknya menyasarkan untuk memadankan pesara tentera kepada lebih 5,000 pekerjaan berkualiti setiap tahun dengan gaji lumayan dalam masa satu hingga dua tahun.

"Ia membolehkan veteran ATM meneruskan perkhidmatan membina negara, dan beralih daripada medan pertempuran kepada ekonomi," katanya.

Sementara itu, Adly berkata, menerusi pemantauan terhadap 24,000 pesara tentera, seramai 19,000 daripadanya sudah memberi maklum balas yang mana 46 peratus sudah bekerja, manakala bakinya bekerja sendiri dalam pelbagai bidang.

Menurutnya, seramai 3,000 hingga 5,000 lagi pesara belum bekerja dan memerlukan pekerjaan kerana berusia 32 hingga 40 tahuntanpa skim pencen.

"Di bahagian utara sahaja, terdapat seramai 7,400 veteran tentera, jadi menerusi kerjasama ini diharap boleh mengukuhkan lagi sosio-ekonomi mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 3:31 PM