AZIZAN  (tengah) bersama Abdul Aziz  (kiri) dan  Nor Azita (kanan) menyaksikan penyerahan replika cek berjumlah RM625,000 yang disampaikan Mohd Anwar (dua dari kiri) kepada wakil 8 usahawan veteran ATM di pekarangan Masjid TUDM Subang.
AZIZAN (tengah) bersama Abdul Aziz (kiri) dan Nor Azita (kanan) menyaksikan penyerahan replika cek berjumlah RM625,000 yang disampaikan Mohd Anwar (dua dari kiri) kepada wakil 8 usahawan veteran ATM di pekarangan Masjid TUDM Subang.
Oleh Rosyahaida Abdullah

Shah Alam: Atas dasar keprihatinan terhadap jasa bekas tentera di negara ini, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dengan kerjasama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional melancarkan Skim Pembiayaan Bekas Tentera (SPBT) sebagai pembiayaan perniagaan buat golongan itu.

Bertujuan meringankan beban mereka selepas tamat perkhidmatan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), skim berkenaan menyediakan pembiayaan antara RM1,000 hingga RM100,000 buat golongan berkenaan yang ingin memulakan atau meningkatkan perniagaan masing-masing.

Pengerusi PERHEBAT, Leftenan Jeneral (Bersara) Datuk Abdul Aziz Ibrahim berkata, pelancaran skim itu sebahagian inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan gandingan Kementerian Pertahanan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dalam memperkasa bekas ATM sebagai usahawan pertanian.

“PERHEBAT tiada kepakaran dalam bidang ini (pertanian) jadi kita jalinkan usahasama ini dengan menyasar pembabitan pesara dan bekas tentera dalam bidang perniagaan termasuk pertanian.

“Apa yang lebih menggembirakan adalah bekas dan pesara tentera diakui TEKUN sebagai golongan peminjam paling berdisiplin dalam membayar hutang jadi kita lebih yakin untuk tampilkan lebih ramai usahawan dalam kalangan bekas tentera berkecimpung dalam bidang perniagaan,” katanya pada sidang media, semalam.

Terdahulu, beliau mengiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MOA Datuk Azizan Mohd Sidin menyempurnakan Karnival Usahawan Veteran ATM di perkarangan Masjid Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini. Hadir sama Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Laksamana (Bersara) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dan Pengerusi TEKUN Nasional, Nor Azita Abdul Rahman.

Difahamkan, seramai 15,053 usahawan sudah pun menerima manfaat daripada pembiayaan TEKUN sejak 2013 membabitkan dana berjumlah RM16.2 juta dengan rata-rata peminjam terdiri daripada pesara dan bekas tentera.

Selain pelancaran SPBT, majlis turut menyaksikan penyerahan cek kepada penerima Skim Pembiayaan Mikro Usahawan Veteran ATM (SPM-UV-ATM) dan penyampaian Watikah Pelantikan Mentor Usahawan Veteran.

Penerima pembiayaan, Miskan Johari, 55, menzahirkan terima kasih kepada kerajaan atas bantuan pembiayaan untuk perniagaan rumah tumpangan dan kedai serbanekanya di Batu Pahat, Johor.

Menurut pesara berpangkat Sarjan itu, perkhidmatannya selama 21 tahun dalam ATM ternyata cukup bermakna apabila kerajaan masih tidak putus membantu.

“Hari ini (semalam), saya menerima pinjaman RM100,000 dan saya akan manfaatnya sebaik mungkin untuk kembangkan perniagaan sedia ada, untuk tambah beberapa lagi rumah tumpangan dan ubah suai kedai serbaneka saya supaya lebih selesa untuk pelanggan,” katanya bapa kepada empat anak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 8:05 AM