NAJIB. FOTO Arkib NSTP
NAJIB. FOTO Arkib NSTP
Nur Lela Zulkipli


BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz ketika menjadi gabenor Bank Negara menyedari kewujudan RM 2.6 bilion dalam akaunnya sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) , namun tidak pernah mempersoalkan perkara itu.

Dalam temubual ekslusif bersama portal berita Malaysiakini baru-baru ini, Najib berkata, Bank Negara sepatutnya memberitahu beliau sekiranya terdapat keraguan berhubung dana berkenaan.

"Jika Bank Negara tahu tentang dana ini, dan mereka ada bayangan atau pengetahuan bahawa mungkin akan ada keraguan tentang sumbernya, mereka patut beritahu saya.

"Tetapi ia tidak berlaku. Jadi saya menyangka ia tiada masalah," katanya.

Ditanya sekali lagi sama ada Zeti tidak memberi sebarang amaran, Najib berkata, tiada maklum balas daripada Bank Negara dan beliau menyangka semuanya dalam keadaan baik.

Zeti yang bersara pada 2016 selepas 16 tahun menjadi gabenor Bank Negara dilantik menjadi Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional berhad (PNB) menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar, minggu lalu.

Dalam perkembangan sama, Najib menegaskan wang berjumlah AS$681 juta (RM2.6 bilion) adalah derma daripada anggota keluarga diraja Arab Saudi.

Beliau juga menegaskan sudahpun mengembalikan AS$620 juta daripada wang berkenaan kepada pendermanya selepas PRU- 13.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam saman sivilnya turut mendakwa wang berkenaan berasal daripada 1MDB.

Terdahulu, bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Puad Zarkashi pernah menyuarakan dakwaan sama bahawa Zeti menyedari kewujudan RM2.6 bilion itu dalam satu pertemuan dengan pelajar Malaysia di Australia pada 2016.

Puad berkata, pemimpin Umno bertemu Najib ketika skandal itu mula meletus pada 2015 dan Najib ketika itu mengakui menerima wang tersebut.

Najib juga mendakwa sudah berbincang mengenainya bersama Zeti, malah Bank Negara memberi kebenaran untuk wang itu dibawa masuk.

Beliau berkata, Najib turut memiliki dokumen kelulusan daripada Bank Negara dan sehingga kini, Zeti masih belum mengulas dakwaan Najib dan Puad itu.

Zeti adalah anggota jawatankuasa kerja yang diketuai bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang menyiasat wang RM2.6 bilion dan RM42 juta dalam akaun peribadi Najib.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 9:51 PM