Zatul Iffah Zolkiply


PENJAWAT awam dan suami isteri antara 28 individu yang ditahan polis dalam operasi khas ‘kutu rayau’ di tiga lokasi sekitar Kuala Terengganu, semalam.

Penjawat awam berusia 43 tahun dan mempunyai tiga anak itu ditahan bersama rakannya dan pemeriksaan lanjut membawa penemuan dua peket syabu.

Suami isteri berusia 39 tahun pula dicekup bersama dua rakan mereka termasuk seorang janda berusia 35 tahun di sebuah pondok berhampiran sebuah pasar raya sebelum pemeriksaan mendapati mereka positif syabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman berkata, operasi khas itu susulan aduan diterima pihaknya mengenai kehadiran ‘kaki pau’ di beberapa lokasi tumpuan.

“Daripada 28 individu yang ditahan, tujuh daripada mereka termasuk dua wanita positif dadah jenis syabu dan pil kuda.

“Dalam operasi sama, kita turut menahan seorang lelaki yang dikehendaki polis sebelum ini berhubung kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Daripada semua yang ditahan, kita percaya ada antara mereka ‘kaki pau’ yang memeras ugut sebelum ini dan siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti pembabitan mereka,” katanya ketika ditemui selepas Operasi Khas Kutu Rayau di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Suffian berkata, pihaknya meminta mana-mana individu yang menjadi mangsa peras ugut supaya tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Katanya, walaupun hanya menanggung kerugian yang sedikit, pihaknya berharap mangsa tampil membuat laporan polis.

“Bukan nilai kerugian yang menjadi ukuran tetapi kita melihat kepada statistik kes berkenaan yang menimbulkan ketakutan dalam masyarakat sekali gus memberi imej negatif kerana ia berlaku di tempat awam.

“Kita percaya kes ‘pau’ ini bukan jenayah terancang sebaliknya ia dilakukan individu yang kebanyakan penagih untuk membeli bekalan dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 3:03 PM
ANTARA ‘kutu rayau’ yang ditahan dalam operasi itu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
ANTARA ‘kutu rayau’ yang ditahan dalam operasi itu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply