SYAMSUL Amri (kanan) dan Mohamad Hasan (kiri) pada majlis berkenaan. FOTO Adzlan Sidek
SYAMSUL Amri (kanan) dan Mohamad Hasan (kiri) pada majlis berkenaan. FOTO Adzlan Sidek
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


KARIER penceramah motivasi Syamsul Amri Ismail, 41 atau lebih dikenali Syamsul Debat tidak berakhir selepas tamat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Malah, Syamsul Amri menolak tanggapan bahawa penyertaannya dalam arena politik 'membunuh' kerjayanya itu.

"Biarpun pilihan raya sudah berakhir, ia tidak menjejaskan karier saya. Perjalanan politik tidak pernah mengganggu kehidupan seharian saya.

"Alhamdulillah... kehidupan saya seperti biasa dan jemputan menyampaikan ceramah masih ada. Semua rezeki yang datang adalah daripada Allah SWT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan di Kampung Tanjung, Rantau, Seremban, hari ini.

Syamsul Amri berkata, sebelum PRU-14, jadualnya padat dengan program motivasi dan keadaan sama juga berlaku selepas pilihan raya.

"Selain ceramah motivasi, saya juga mengendalikan urusan membawa jemaah menunaikan umrah dan program pelancongan," katanya.

Calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat itu berkata, biarpun tewas kepada Menteri Besar, Aminuddin Harun beliau menerima keputusan dengan hati terbuka kerana ia pilihan rakyat.

Katanya, buat masa ini beliau masih membantu rakan seperjuangan dalam UMNO demi memartabatkan nasib orang Melayu dan umat Islam.

"Walaupun saya meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, saya masih sayangkan parti ini," katanya.

Pada PRU-14, Syamsul serta dua calon daripada PAS dan Bebas tewas kepada Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan negeri dalam saingan empat penjuru di kerusi DUN Sikamat dengan majoriti 3,413 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 12:26 PM