GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian samun sebuah hotel dan sebuah kedai serbaneka, kurang 24 jam selepas suspek melakukan perbuatan itu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, suspek warga tempatan itu ditahan kira-kira jam 10 malam hingga 11.30 malam di sekitar Pasir Gudang.

"Bertindak atas maklumat dua kejadian samun itu, kita berjaya menahan tiga lelaki yang berusia antara 23 dan 24 tahun.

"Hasil semakan, kita mendapati semua suspek ini mempunyai lapan rekod jenayah lampau, lapan rekod kes dadah dan satu rekod orang yang dikehendaki," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, ketika tangkapan dibuat, polis turut merampas barangan milik mangsa dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk menyamun iaitu dua motosikal, dua topi keledar, lima jaket, parang, tiga pasang kasut, seluar dan dua telefon bimbit.

Terdahulu, Mohd Sohaimi berkata, kejadian samun itu dilaporkan berlaku antara jam 4 pagi hingga 5 pagi semalam di sebuah hotel dekat Masai dan kedai serbaneka di Ulu Tiram di sini.

Katanya, laporan polis dibuat penjaga hotel dan juruwang kedai serbaneka terbabit yang berusia 37 dan 48 tahun.

"Ketika bekerja, mangsa dikatakan disamun oleh dua lelaki tempatan yang bersenjatakan parang. Seorang daripada suspek mengacukan parang ke arah mangsa sambil mengambil telefon bimbit dan wang tunai RM750 sebelum melarikan diri," katanya.

Menurut beliau, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah dan lapan rekod dadah termasuk rekod orang yang dikehendaki.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan semua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 14 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 2:34 PM