SHAMSIAH (kanan) bersama rakan sukarelawan menziarahi Hassim (duduk, tengah) yang tinggal sebatang kara di sebuah pondok kecil di Muar. FOTO Ihsan Shamsiah Shaaban
SHAMSIAH (kanan) bersama rakan sukarelawan menziarahi Hassim (duduk, tengah) yang tinggal sebatang kara di sebuah pondok kecil di Muar. FOTO Ihsan Shamsiah Shaaban
Mary Victoria Dass


“RUTIN sambutan Aidilfitri saya adalah menziarah Pak Hassim, namun tahun ini saya sedih apabila mendapati dia semakin uzur dan hanya mengesot untuk bergerak dengan sakit kulitnya semakin serius,” kata sukarelawan Shamsiah Shaaban, 35.

Menurut Shamsiah, Hassim Yeat, 78, warga emas yang tinggal sebatang kara di pondok kecil di Jalan Jaafar, Parit Bakar, Muar kehilangan ibunya kira-kira 30 tahun lalu dan tidak pernah mendirikan rumah tangga.

Katanya, dia difahamkan adik-beradik Hassim juga sudah meninggal dunia menyebabkan warga emas itu tiada tempat bergantung dan tinggal seorang diri.

“Sebelum ini Pak Hassim yang bekerja kampung mampu menguruskan diri sendiri termasuk memasak. Sebagai sukarelawan saya menerima maklumat berkaitan Pak Hassim daripada netizen dan sudah hampir belasan tahun saya menziarahnya setiap kali Aidilfitri pertama.

“Tahun lalu, kami berjaya mendapatkan sumbangan barangan dapur untuk keperluan Pak Hassim daripada Pasaraya Econsave Cash And Carry. Saya difahamkan Pak Hassim menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan,” katanya.

Shamsiah berkata, apabila menziarah warga emas itu, dia turut membawa makanan kegemaran Pak Hassim iaitu ketupat dan rendang.

Katanya, dia bersama keluarganya yang tiada pertalian darah dengan Pak Hassim turut menyumbang sejumlah duit raya untuk kegunaan hariannya.

“Tahun ini saya mendapati keadaan Pak Hassim semakin uzur termasuk tangan dan kakinya mengalami masalah kulit, kakinya sakit hingga tidak dapat berjalan.

“Saya difahamkan jirannya ada menyediakan makanan termasuk sarapan, makan tengah hari dan malam selain penduduk kampung kerap mengambil berat mengenainya,” katanya.

Katanya, dalam pertemuan itu dia mencadangkan Pak Hashim tinggal di pusat jagaan warga emas dan dipersetujuinya kerana keadaan lebih selamat.

“Selama ini JKM banyak membantu, namun kami berharap mereka akan menempatkan Pak Hassim di pusat jagaan sesuai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Jun 2018 @ 5:10 PM