PAK Ali selesa meraikan Aidilfitri di pusat jagaan warga emas berbanding pulang ke rumah keluarga. -Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
PAK Ali selesa meraikan Aidilfitri di pusat jagaan warga emas berbanding pulang ke rumah keluarga. -Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
Mary Victoria Dass


SEPERTI warga emas lain, Pak Ali, 70-an (bukan nama sebenar) memiliki keinginan untuk bermanja bersama anak cucu pada Aidilfitri, merasa makanan kegemaran serta kenikmatan sambutan perayaan bersama saudara-mara.

Malangnya dia yang berasal dari Simpang Renggam yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal lebih rela beraya bersama penghuni pusat jagaan warga emas sejak dua tahun lalu.

Berkongsi berkaitan pengalamannya dibawa pulang beraya ke rumah anak tunggalnya pada tiga tahun lalu, Pak Ali berkata ia menjadi kenangan paling pahit bagi dirinya.

“Saya yang tinggal di Pusat Jagaan Nur Ehsan ini sejak empat tahun lalu tidak pernah berkecil hati dengan anak dan menantu kerana sedar mereka sibuk bekerja hingga tidak mampu memberi jagaan kepada saya dan mengambil keputusan untuk dimasukkan ke pusat jagaan ini.

“Sebelum ini memang saya mampu bergerak aktif namun nasib saya agak malang apabila terjatuh di tandas ketika mandi dan akibatnya keilatan pada bahagian kaki.

“Sepanjang saya menghuni di sini, hanya beberapa kali anak lelaki saya datang melawat dan ia mengakibatkan rasa rindu saya terhadap keluarganya terutama tiga cucu semakin bertambah.

“Namun, saya bersyukur kerana tiga tahun lalu anak tampil membawa saya pulang ke rumahnya selepas pengurusan pusat jagaan menghubunginya,” katanya.

Pak Ali berkata, tidak lama selepas tiba di rumah anaknya sehari sebelum raya, ahli keluarga anaknya sibuk membuat persiapan untuk beraya.

Menurutnya, dia terkilan apabila ditinggalkan bersendirian di kediaman berkenaan sementara anak, menantu dan cucunya beraya ke rumah kenalan dan saudara mara.

Katanya, malah mereka hanya meninggalkan sedikit makanan serta biskut raya dan memintanya menguruskan diri sendiri serta menasihati untuk menonton program televisyen bagi menghilangkan bosan.

“Saya yang berkerusi roda berdepan kesulitan bagi mengurus diri apabila ditinggal bersendirian.

“Ketika itu, hanya Allah SWT mengetahui hati saya yang berasa lebih baik saya tinggal di pusat jagaan berbanding pulang ke rumah.

“Apapun saya tabah dan memaafkan anak atas kekurangannya mahupun ahli keluarganya.

“Namun saya sudah serik untuk pulang beraya dan meminta kebenaran pengurusan pusat untuk hanya berada di sini sepanjang raya,” katanya.

Pak Ali berkata, ini adalah tahun kedua dia meraikan Aidilfitri di pusat jagaan berkenaan.

“Rindu tetap ada namun saya serta beberapa penghuni yang bernasib serupa tidak berfikir berkaitannya sebaliknya bersyukur kerana masih berpeluang meraikan Aidilfitri termasuk bersama pekerja pusat jagaan ini,” katanya.

Seorang lagi warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Osman, 75, (bukan nama sebenar) turut melahirkan rasa serik terhadap layanan anak-anaknya ketika sambutan Aidilfitri.

Dia memberitahu lima anaknya sering bergaduh soal siapakah yang harus menjaganya ketika Aidilfitri dan mengambilnya dari pusat jagaan.

“Saya dianggap beban besar bagi mereka apatah lagi saya tidak lagi mampu bergerak bebas dan terpaksa memakai lampin pakai buang.

“Mungkin mereka jijik dan malu dengan keadaan fizikal saya. Memikirkan keadaan itu, saya sudah tawar hati dan lebih rela menyambut Aidilfitri di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 6:15 AM