FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Poliana Ronnie Sidom


BAYI lelaki ditemui terapung dipercayai lemas di bawah jambatan berhampiran rumahnya di perkampungan atas air Kampung Sabang, Numbak Baru, Sepanggar, semalam.

Mangsa, Mohamad Rayan Shah Ridwan, 12 bulan ditemui tertiarap di atas air dalam kejadian pada 12 tengah hari.

Difahamkan, mangsa sebelum itu bermain bersama adik-beradiknya berusia dua, enam dan tujuh tahun di ruang tamu dengan pintu rumah tidak tertutup rapi, manakala ibu mereka mengemas di dapur.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa terjatuh dan lemas ketika bermain di jambatan luar rumah.

Katanya, mayat bayi itu dibawa ke Hospital Likas untuk pemeriksaan sebelum pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk bedah siasat dan punca kematian disahkan akibat lemas.

“Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, ibu bapa dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mengawasi tindak-tanduk anak-anak masih kecil bagi mengelak sebarang kejadian yang boleh mengancam nyawa mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Jun 2018 @ 8:01 PM