Junita Mat Rasid


BENDERA Johor, daerah dan persatuan diturunkan separuh tiang mulai hari ini sehingga hari pemakaman susulan kemangkatan bonda Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar iaitu Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah di Hospital King Edward VII, London, 7.55 malam tadi (waktu tempatan).

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, semua masjid utama di negeri itu juga mengadakan majlis tahlil dan doa ke atas roh Almarhum selepas Maghrib mulai hari ini dan pada hari dimakamkan.

“Kerabat Diraja yang didamping berkabung bermula tarikh ini kemudian tiga hari daripada dimakamkan jenazah Almarhumah manakala rakyat serta penduduk negeri ini berkabung pada tarikh dimakamkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan kemangkatan berkenaan di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Abdul Rahim berkata, orang Melayu hendaklah memakai tanda perkabungan iaitu lilitan kain putih selebar 5 sentimeter (cm) pada songkok hitam manakala bagi kaum dan agama lain perlu memakai selilit kain hitam lebar 7.6 cm di lengan kiri atau bertali leher hitam.

Katanya, wanita Melayu pula perlu memakai tudung putih manakala wanita kaum lain memakai selilit kain hitam selebar lima cm di lengan kiri atau bertudung hitam.

“Mereka yang hadir pada upacara pemakamam pula perlu memakai baju Melayu Teluk Belanga serba putih berkain hitam berdagang luar dan berkabung untuk lelaki Melayu, manakala bagi lelaki lain bangsa hendaklah memakai ‘lounge’ suit hitam dan berkabung,” katanya.

Berita berkaitan:

Akan dimakam di Bukit Mahmoodiah

Bonda Sultan Johor mangkat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 1:22 PM
BENDERA negeri Johor, bendera daerah dan bendera persatuan dalam negeri Johor diturunkan separuh tiang. FOTO Mohd Azren Jamaludin
BENDERA negeri Johor, bendera daerah dan bendera persatuan dalam negeri Johor diturunkan separuh tiang. FOTO Mohd Azren Jamaludin