Junita Mat Rasid

JENAZAH bonda kepada Sultan Johor, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah akan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru, pada tarikh dan waktu yang akan diumumkan kemudian.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, bonda Sultan Johor mangkat di Hospital King Edward VII, London pada 7.55 malam tadi (waktu tempatan).

“Adalah dengan sangat kedukaan dan kemasygulan dilafazkan iaitu Yang Amat Mulia Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah D.K, S.M.I.J, bonda kepada Duli Yang Maha Mulia, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang amat dihormati dan dikasihi telah mangkat, berpindah daripada alam fana ke alam akhirat yang baqa pada 7.55 malam (waktu tempatan) hari Jumaat 1 Jun 2018 bersamaan dengan 16 Ramadan 1439 Hijrah di Hospital King Edward VII London,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan kemangkatan berkenaan di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Abdul Rahim berkata, jenazah Almarhum akan disemayamkan di Bilik Singgahsana Istana Besar, dekat Johor Bahru bagi membolehkan rakyat dan orang awam menziarahinya mengikut peraturan dan waktu yang akan dimaklumkan kemudian.

“Jenazah akan diusung dengan pedati diraja yang ditarik oleh 40 anggota TSN (Timbalan Setia Negari Johor) dari Istana Besar hingga ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah.

Abdul Rahim berkata, Almarhum Hajah Khalsom dilahirkan pada 2 Disember 1935 dan dikurniakan tiga puteri serta seorang putera iaitu Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah, Tunku Besar Zabedah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Ibrahim dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Sultan Johor kini dalam keadaan kemasygulan dan sedih atas kemangkatan bonda baginda,” katanya.

Berita berkaitan:

Bonda Sultan Johor mangkat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 1:11 PM