SUASANA penumpang membeli tiket bas ekspress di kaunter jualan tiket, di Terminal Bas Inanam, Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah
SUASANA penumpang membeli tiket bas ekspress di kaunter jualan tiket, di Terminal Bas Inanam, Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah
Mohd Izham Unnip Abdullah


MAJLIS Pengusaha Bas Ekspres Sabah (SEBOC) akan memastikan jumlah bas balik raya mencukupi termasuk menyediakan bas tambahan bagi menampung jumlah penumpang yang dijangka lebih ramai tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Donald Hanafi berkata, pihaknya sedia maklum berkaitan kemungkinan itu, khususnya bagi laluan ke pantai timur lebih-lebih lagi dalam situasi Aidilfitri kali ini yang disambut selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau bagaimanapun berkata, jumlah sebenar bas balik raya hanya diketahui seawal dua minggu sebelum Aidilfitri.

"Ya, dua minggu sebelum raya boleh tahu sudah. Kita memang bersedia ke arah itu (menyediakan bas tambahan)," katanya kepada NSTP ketika ditanya mengenai persediaan balik raya pengusaha bas ekspres di negeri ini.

Jumlah pengguna yang pulang beraya khususnya dari ibu negeri ke daerah di pantai timur seperti Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau dijangka meningkat sejajar situasi semasa, khususnya dengan penetapan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berkadar sifar.

Kadar baharu itu yang dijadualkan bermula pada 1 Jun ini dijangka meningkatkan kemampuan perbelanjaan rakyat menyambut Aidilfitri apabila semua barangan dan perkhidmatan yang sebelum ini dikenakan GST tidak lagi dikenakan cukai.

Mengenai kadar tambang, Donald berkata, pengusaha bas ekspres di negeri ini masih menggunakan kadar semasa tambang yang ditetapkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Katanya, tiada penurunan kadar tambang walaupun kerajaan memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana tambang pengangkutan awam tidak dikenakan cukai berkenaan sejak ia dilaksanakan kira-kira dua tahun lalu.

"Setakat ini kadar tambang masih mengikut harga LPKP sebab memang pengangkutan awam tidak dikenakan GST sejak dulu lagi," katanya.

Ketika ini, kira-kira 300 bas ekspres beroperasi di Sabah dengan sebahagian besarnya menyediakan perkhidmatan bagi laluan di antara ibu negeri dengan bandar dan pekan di pantai timur.

Pada tahun-tahun sebelum ini, kira-kira 10,000 penumpang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu untuk balik raya di pantai timur.

Berdasarkan kadar semasa, tambang bas maksimum ditetapkan LPKP dari ibu negeri ke Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau, masing-masing ialah RM43.60, RM52.50, RM61.40, RM73.50 dan RM72.20 bagi setiap penumpang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 10:54 AM