GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hazsyah Abdul Rahman


LELAKI cedera selepas dipukul dengan batang paip besi oleh seorang individu lain, berdekatan Taman Fajar, Batu 7, Sandakan, semalam.

Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, mangsa berusia 51 tahun dilaporkan cedera di tangan dan belakang badan.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa menghantar seorang wanita berusia 37 tahun ke rumahnya.

"Namun, sebaik tiba di lokasi kejadian, suami wanita terbabit yang berusia 37 tahun ternampak isterinya dan mangsa di dalam sebuah kereta.

“Ia dipercayai menyebabkan lelaki itu cemburu sehingga dia terus menyerang mangsa dengan batang paip besi,” katanya, hari ini.

Sumber itu berkata, isteri suspek dilaporkan menuntut cerai pada lima hari lalu kerana marah dengan suspek yang malas bekerja.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Sabah, Senior Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Siasatan awal mendapati, suspek cemburu mangsa hantar isteri suspek balik rumah.

“Isteri suspek adalah kawan kepada isteri mangsa," katanya.

Jauteh berkata, polis giat memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 4:16 PM