FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Lelaki cedera selepas dipukul apabila hubungan terlarang dengan isteri orang diketahui suami wanita berkenaan di sini, baru-baru ini.

Pada kejadian Isnin lalu di sebuah penempatan Felda di sini itu, lelaki terbabit dipukul dengan penyapu, batang cangkul dan getah paip.

Lebih malang, wang milik peniaga berjumlah RM15,000 turut dikebas suami wanita berkenaan.

Sumber berkata, peniaga berusia 20-an itu berkenalan dengan wanita berkenaan melalui aplikasi WhatsApp, sejak dua bulan lalu.

Bagaimanapun, hubungan berkenaan diketahui suami wanita itu, dan peniaga itu kemudian diminta datang ke rumahnya.

Kata sumber itu lagi, sebaik peniaga itu sampai di rumah suami wanita berkenaan pada kira-kira 1 pagi, dia dipukul oleh suami wanita dan lima ahli keluarganya.

Dia dipercayai dipukul menggunakan penyapu, batang cangkul serta getah paip pada badan dan kepala, selain ditumbuk pada bahagian mata.

Suami wanita itu kemudian dipercayai meminta kad bank dan nombor PIN milik peniaga itu sebelum mengeluarkan wang berjumlah RM15,000.

Sumber berkata, susulan kejadian, enam suspek berusia 17 hingga 28 tahun itu sudah ditangkap polis dan direman bermula 24 Januari lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 8:31 AM