RAKAMAN CCTV di lokasi suspek yang terbabit dalam kes kecurian di hadapan sebuah pasar raya di Pujut, Miri. FOTO Ihsan PDRM
RAKAMAN CCTV di lokasi suspek yang terbabit dalam kes kecurian di hadapan sebuah pasar raya di Pujut, Miri. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Rizal Abdullah


1 jam 23 minit! Itu tempoh diambil polis bagi menahan lelaki yang disyaki terbabit dalam kes curi di hadapan sebuah pasar raya di Pujut, Miri, petang kelmarin.

Suspek berusia 28 tahun itu berjaya ditahan di Jalan Terusan Lorong, di sini 11.20 malam sejurus polis menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, suspek dikesan melarikan satu kotak mengandungi barang berharga milik wanita berusia 38 tahun pada hari kejadian.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa selesai membeli barangan dari pasar raya itu dan menuju ke keretanya.

"Mangsa kemudiannya memindahkan kotak berkenaan di belakang bonet sementara waktu bagi memasukkan dua anaknya ke dalam kereta.

"Tiba-tiba suspek datang dan terus melarikan kotak berkenaan yang mengandungi wang tunai RM200, telefon, kad kredit dan dokumen peribadi," katanya.

Katanya, mangsa menjerit meminta bantuan, bagaimanapun, suspek dapat melarikan diri.

"Mangsa kemudiannya bergegas membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri dan suspek berjaya ditahan sejam kemudian bersama barangan milik mangsa," katanya

Katanya, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 1:41 PM