Bateri kereta dan tong sampah yang dikebas tiga individu dalam kejadian pecah rumah di Pujut, Miri. FOTO Mohd Rizal Abdullah
Bateri kereta dan tong sampah yang dikebas tiga individu dalam kejadian pecah rumah di Pujut, Miri. FOTO Mohd Rizal Abdullah
Mohd Rizal Abdullah


BUKAN hanya bateri kereta, malah tong sampah turut dikebas tiga individu yang memecah masuk rumah di Pujut, Miri, pagi semalam.

Dalam kejadian pada 10.30 pagi itu, tiga lelaki berusia lingkungan 20-an menceroboh rumah berkenaan sebelum melarikan tujuh unit bateri kereta bersama tong sampah milik penghuni rumah berkenaan.

Ahli Jawatankuasa Penduduk (JKP) Miri, Malateh Mahmud berkata berkata, bagaimanapun, perbuatan suspek disedari jiran berhampiran yang kemudiannya menghubungi ahli JKP.

Menurutnya, pihaknya kemudian membuat pemeriksaan dan berjaya menemui suspek di rumah berhampiran kawasan berkenaan tidak lama kemudian.

“Tong sampah yang mempunyai nombor lot rumah mangsa bersama tujuh unit bateri ditemui bersama suspek.

“Suspek menggunakan tong sampah itu bagi meletakkan bateri kereta yang dicuri bagi mengaburi mata orang awam,” katanya, hari ini.

Katanya, semua suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes sedang disiasat bagi mengetahui pembabitan suspek dalam kes lain di daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 2:37 PM