Mohd Hasbi Sidek


EMPAT kenderaan rosak selepas ditimpa pokok tumbang akibat hujan lebat di Jalan Lapangan Terbang Subang, Subang, hari ini.

Dalam kejadian pada 5 petang, semua pemandu kenderaan itu yang sedang dalam perjalanan ke arah Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, tidak mengalami kecederaan.

Pegawai Perhubungan Awam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor Siti Ramizah Mohd Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita yang berada di lokasi pada 5.26 petang sebelum tujuh anggota bersama tiga Unit Chainsaw bergegas ke lokasi.

“Kejadian membabitkan sebatang pokok besar yang berada di bahu jalan tumbang dan menghempap empat kenderaan. “Bagaimanapun, semua pemandu dan penumpang kenderaan tidak mengalami kecederaan kerana sempat keluar daripada kenderaan disebabkan ketika itu jalan agak sesak,” katanya.

Katanya, operasi berkenaan turut dibantu anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan tamat pada 8.30 malam tadi.

Sementara itu, jurucakap Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor berkata, banjir kilat berlaku di Jalan Jati dan Subang Perantau, Subang ekoran hujan lebat, 5 petang tadi.

“Air naik setinggi 0.5 meter, namun tiada mangsa dilaporkan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kejadian dipercayai berpunca akibat hujan lebat, selain keadaan di lokasi berkenaan rendah dan sering mengalami kejadian banjir akibat limpahan Sungai Pelempas.

“Projek menaiktaraf Sungai Pelempas sedang berjalan dengan giat, dan projek menaiktaraf sungai berkenaan bagi fasa 2 perlu diteruskan sebagai cadangan penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 10:02 PM