BILIK alat pengubah arus elektrik yang terbakar di Saloma Bistro, Jalan Ampang, hari ini.
BILIK alat pengubah arus elektrik yang terbakar di Saloma Bistro, Jalan Ampang, hari ini.
Mohd Hasbi Sidek


ORANG ramai gempar apabila asap tebal menyelubungi kawasan Saloma Bistro di Jalan Ampang, Kuala Lumpur selepas bilik alat pengubah arus elektrik (transformer) di premis itu terbakar, hari ini.

Kejadian berlaku pada 3.15 petang itu apabila sistem pemadam api pada alat berkenaan dipercayai tidak berfungsi menyebabkan kebakaran yang menghasilkan asap tebal.

Bagaimanapun, struktur bilik berkenaan tidak terjejas dan api tidak merebak ke bangunan utama premis berkenaan berikutan berjaya dikawal pihak bomba.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.28 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, BBP Titiwangsa dan BBP KLCC bergegas ke lokasi.

“Pasukan dengan 19 keanggotaan itu bergegas ke lokasi sebelum berjaya mengawal api daripada merebak ke bangunan utama.

“Punca kebakaran belum dapat dikenal pasti, namun pihak kami mendapati sistem pemadam api (sistem Co2) pada alat berkenaan yang sepatutnya memadam kebakaran secara automatik tidak berfungsi,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kejadian menyebabkan kepulan asap tebal yang boleh dilihat pada jarak satu kilometer.

“Tindakan pantas anggota bomba mengawal api meredakan orang ramai yang berada di sekitar lokasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 7:41 PM