Sultan Nazrin berkenan menyampaikan watikah perlantikan kepada Ahmad Faizal. FOTO Muhaizan Yahya
Sultan Nazrin berkenan menyampaikan watikah perlantikan kepada Ahmad Faizal. FOTO Muhaizan Yahya
Shamsul Kamal Amarudin; Muhammad Apendy Issahak; Mohd Hafizee Mohd Arop; Teh Athirah Yusof dan Farah Suhaidah Othman

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Ahmad Faizal Azumu, dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-12.

Pelantikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perak berusia 48 tahun itu diperkenan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada istiadat angkat sumpah jawatan dan menandatangani watikah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, hari ini.

Turut berkenan hadir, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Raja Muda, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris serta Raja Puan Muda, Tuanku Soraya Sultan Abdul Halim, turut berkenan hadir.

Turut hadir, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Ahmad Faizal mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Cator Avenue dan kemudian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di Ipoh sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Kajian Perniagaan di Universiti Edith Cowan, Perth, Australia.

Beliau pernah menjadi Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Kedah dan sebelum itu pernah menjadi Pegawai Khas Menteri Kesihatan dan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Bertanding pertama kali dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan memenangi DUN Chenderiang dengan majoriti 39 undi dalam pertembungan tiga penjuru.

Beliau juga memenangi kerusi Parlimen Tambun dengan majoriti 5,320 undi juga dalam pertembungan tiga penjuru.

Dalam PRU-14, PH dipimpin Ahmad Faizal berjaya memenangi 29 kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) yang memenangi 27 kerusi dan PAS (tiga kerusi).

PH berjaya membentuk Kerajaan Negeri Perak menerusi majoriti mudah 31 kerusi selepas dua ADUN BN menyertai pakatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 7:16 PM