SYEFURA Othman. FOTO Arkib NSTP
SYEFURA Othman. FOTO Arkib NSTP
T N Alagesh dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


CALON PKR Syefura Othman atau Rara berasa seakan mimpi apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), semalam.

Wanita berusia 28 tahun itu mengakui kemenangan berkenaan adalah tanggungjawab besar kerana buat pertama kali bergelar wakil rakyat biarpun sebelum ini pernah memegang jawatan Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPK).

“Sebagai ahli MPK, saya hanya menjaga kira-kira 33 kawasan penempatan tetapi sekarang perlu menjaga 23,000 penduduk membabitkan kawasan dari Bukit Tinggi, Sungai Dua dan berhampiran Genting Highlands.

“Ia pastinya memberi cabaran baru, namun saya sangat teruja dan akan meneliti janji-janji Pakatan Harapan di Bentong seperti yang disenaraikan di bawah manifesto,” katanya.

Menurutnya, sejak hari pertama namanya dicalonkan, dia sama sekali tidak menyangka bakal memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,710 undi.

“Berdasarkan maklum balas daripada pengundi sepanjang tempoh berkempen, saya hanya menjangkakan kemenangan dengan majoriti kecil namun keputusan semalam agak mengejutkan.

“Saya akan pergi ke kawasan-kawasan yang pernah saya berkempen sebelum ini untuk menyatakan penghargaan kepada pengundi atas sokongan diberikan.

“Tumpuan saya selepas ini adalah adalah untuk memperbaiki infrastruktur di kawasan ini,” katanya.

Syefura yang terkenal dengan dengan imej dirinya yang gemar menggayakan pakaian tradisional Melayu berjanji untuk mengotakan 10 ikrar di dalam manifesto Pakatan Harapan.

Beliau yang memperoleh 9,873 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lau Hoi Keong dan calon PAS Roslan Md Esa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 7:02 PM