ANGGOTA Sub Unit Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja menunjukkan 300 kilogram daun ketum bernilai RM27,000 yang ditemui berhampiran Pos Batu 34 di Padang Terap, hari ini. FOTO Ihsan ATM
ANGGOTA Sub Unit Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja menunjukkan 300 kilogram daun ketum bernilai RM27,000 yang ditemui berhampiran Pos Batu 34 di Padang Terap, hari ini. FOTO Ihsan ATM
Noorazura Abdul Rahman


KEHADIRAN sebuah pacuan empat roda mencurigakan di kawasan hutan berhampiran sempadan di Padang Terap membongkar cubaan menyeludup 300 kilogram (kg) daun ketum ke negara jiran, hari ini.

Kenderaan itu ditemui anggota Sub Unit Batalion 2 Rejimen Renjer Diraja (2RRD) sejurus selesai rondaan berhampiran Pos Batu 34 pada 10.30 pagi.

Berdasarkan pemerhatian, kenderaan terbabit dipercayai ditinggalkan sejak awal pagi selepas dipercayai tersangkut di dalam lumpur di tengah hutan.

Panglima 6 Briged Brigedier Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata, pasukan diketuai Staf Sarjan Lawrence Karoni melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan itu, namun tiada seorang pun di dalamnya.

“Pemeriksaan lanjut pada bahagian dalam kenderaan menemui 30 bungkusan plastik hitam mencurigakan yang kemudian disahkan mengandungi 300 kg daun ketum yang diikat kecil dan dibungkus dengan plastik putih.

“Kita percaya cubaan menyeludup ini dilakukan warga tempatan dengan stok disyaki cuba dihantar ke pagar sempadan Malaysia-Thailand sebelum diambil pihak ketiga," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pasukan terbabit kemudian merampas kenderaan bersama stok daun ketum yang dianggar bernilai RM27,000 itu.

Katanya, semua hasil rampasan kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Nerang untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 9:00 PM