SEBAHAGIAN daripada ketum yang dirampas. FOTO Ihsan ATM
SEBAHAGIAN daripada ketum yang dirampas. FOTO Ihsan ATM
Noorazura Abdul Rahman


PENYELUDUP ketum dikesan menjadikan kawasan hutan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand, di Padang Terap, sebagai lokasi transit kegiatan haram itu.

Taktik itu dikesan susulan penemuan 140 kilogram (kg) daun ketum dianggar bernilai RM12,000 oleh anggota Batalion 2 Rejimen Renjer Diraja (RRD) berhampiran Pos Sahara di Durian Burung, hari ini.

Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata, dalam kejadian 10 pagi, tujuh anggota RRD diketuai Koperal Christnichael Binor, menemui satu longgokan mencurigakan di kawasan hutan berkenaan.

Beliau berkata, ia ditutup dengan kain berwarna hijau.

Katanya, hasil pemeriksaan, longgokan itu berisi lima guni mengandungi kira-kira 280 ikat daun ketum dengan setiap satu dianggarkan berat 500 gram

"Kita percaya daun ketum itu cuba diseludup ke negara jiran dan ia sengaja ditinggalkan di kawasan itu. Kemungkinan, ada pihak ketiga yang mengambilnya untuk dibawa ke negara jiran.

"Semua lima guni berisi daun ketum itu kemudian dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pihaknya percaya penyeludupan daun ketum semakin menjadi-jadi berikutan permintaan tinggi di negara jiran, selain faktor penanaman tumbuhan itu diharamkan di Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 3:47 PM