AZWAN (kiri) mendakwa Mohamed Azmin tidak mengotakan janjinya kepada rakyat Selangor. FOTO Arkib NSTP
AZWAN (kiri) mendakwa Mohamed Azmin tidak mengotakan janjinya kepada rakyat Selangor. FOTO Arkib NSTP
Tharanya Arumugam


SELEBRITI Azwan Ali menegur abangnya Datuk Seri Mohamed Azmin yang mempersoalkan jika beliau diupah untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Azwan yang dikenali sebagai Diva AA, berkata kenyataan Mohamed Azmin itu sebaliknya mencerminkan dirinya sebagai pemimpin yang terdesak yang berharap untuk kekal di kerusi DUN Bukit Antarabangsa.

“Sayang sekali! Ini membuktikan kamu (Mohamed Azmin) seorang yang malang. Calon yang terdesak. Beliau sudah membuktikan pemikiran kelas bawahannya. Berhenti menyalak. Dosa kamu di tangan saya.

“Diva AA adalah peguam profesional. Tutup mulut kamu sebelum saya saman kamu (Azmin),” kata graduan undang-undang itu, yang juga mendakwa beliau mengetahui banyak rahsia abangnya.

Menurutnya, beliau memilih untuk bertanding sebagai calon bebas di kerusi DUN Bukit Antarabangsa untuk menghalang rakyat Selangor daripada terus diperbodohkan oleh Mohamed Azmin, yang juga Menteri Besar sementara dan Timbalan Presiden PKR.

Katanya, Mohamed Azmin yang mentadbir Selangor tidak mengotakan janji yang dibuatnya kepada orang ramai.

“Ia hanyalah janji, yang kita lihat tidak dikotakan. Saya juga akan berusaha untuk menghentikan perbuatan politik rasuah termasuk yang ada dalam kerajaan.

“Selain itu, saya segera menghentikan krisis air di Selangor. Pemimpin sebelum ini bodoh sombong. Mereka bodoh tetapi bersikap ego,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Terdahulu, ketika diminta mengulas tentangan daripada adiknya, Azwan di DUN Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin mempersoalkan agenda Azwan untuk bertanding demi rakyat atau sekadar mengikut telunjuk segelintir pihak.

“Sesiapa pun boleh bertanding kerana akhirnya kena serahkan kepada kebijaksanaan rakyat untuk membuat pilihan.

“Soalnya sekarang apakah calon itu (Azwan) serius untuk mengangkat suara rakyat atau diupah, dihantar untuk tujuan tertentu?

“Pengundi hari ini, khususunya golongan milenium amat matang dan mereka mahukan wakil atau parti yang boleh membentuk kerajaan.

“Apa sekali pun, kehadiran Azwan tidak menjejaskan langsung gerak kerja saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 7:49 PM