Maria Uffa Zulkafeli


SELEBRITI kontroversi, Azwan Ali sah bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi DUN Bukit Antarabangsa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sekali gus bakal menentang abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Selain Azwan, Mohamed Azmin yang juga penyandang kerusi DUN berkenaan turut ditentang tiga calon muka baharu masing-masing Salwa Yunus dari BN, Syarifah Hazlizah Syed Ariffin (PAS) dan Ahmad Kamarudin (PRM).

Terdahulu pengumuman calon disempurnakan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya P099 Ampang, Abd Hamid Hussain di pusat penamaan calon di Dewan Dato Ahmad Razali, 10.15 pagi tadi.

Azwan yang lebih dikenali sebagai Diva AA ketika ditemui berkata, sebaik namanya diterima sebagai calon Bebas bagi kerusi DUN berkenaan, beliau tekad menghentikan segala kecaman terhadap Mohamed Azmin sebaliknya mahu fokus terhadap kebajikan pengundi di kawasan itu.

Katanya, manifesto beliau cukup jelas iaitu rakyat nombor satu dan tidak akan mengambil tahu mengenai Mohamed Azmin lagi.

“Memang pada awalnya saya berjanji untuk menelanjangkan dia (Mohamed Azmin), namun adalah lebih baik bila saya diterima sebagai calon kawasan ini, saya bercakap perkara-perkara yang menguntungkan rakyat di Bukit Antarabangsa,” katanya.

Azwan turut dijangka menyediakan 50,000 bekas rendang ayam dan daging untuk penyokong setia yang bakal mengundinya pada PRU-14 nanti.

Terdahulu Azwan adalah calon pertama yang tiba di pekarangan pusat penamaan calon iaitu pada 7.15 pagi.

Berita berkaitan:

Diva AA dah ready

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 12:51 PM