GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

KEPUTUSAN kerajaan negeri memberi kelulusan segera baru-baru ini untuk memindahkan lima sekolah paling berisiko dilanda banjir di daerah Tatau, ke penempatan baharu, disambut penuh rasa lega oleh warga pendidik dan ibu bapa di kawasan pedalaman bahagian tengah Sarawak.

Lima buah sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Penyarai, SK Rumah Keseng, SK Rumah Tayai, SK Nanga Tau dan SK Kuala Muput yang terletak di daerah Tatau dalam Parlimen Selangau.

Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Tatau, Mohadi Mobin berkata, daripada lima sekolah tersebut, SK Nanga Tau dan SK Kuala Muput mengalami kerosakan 100 peratus membabitkan kemusnahan harta benda dan struktur dalam kejadian banjir besar Februari lalu.

“Pada Februari lalu, PPD Tatau sudah bentangkan kepada Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg) cadangan untuk memindahkan lima buah sekolah tersebut ke satu lokasi yang lebih selamat. Alhamdulillah cadangan itu mendapat perhatian dan beliau (Abang Johari) sudah meluluskan cadangan tersebut,” katanya kepada Bernama.

Kejadian banjir itu menyebabkan SK Kuala Muput mengalami kerugian kira-kira RM1.3 juta, manakala SK Nanga Tau, kira-kira RM650,000.

Mengulas lanjut, Mohadi berkata, keputusan Abang Johari yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sarawak itu disambut baik penduduk sekitar bagi memastikan pendidikan anak-anak mereka tidak terjejas.

“Paling utama, keputusan memindahkan sekolah ke lokasi lebih baik akan dapat mengurangkan gangguan kepada proses pembelajaran… dan dengan adanya tapak baharu ini murid sekolah dan warga pendidik boleh mengajar dengan lebih selesa dan selamat,” katanya.

Ditanya perkembangan terbaharu proses pemindahan tersebut, Mohadi berkata penduduk sendiri akan mencadangkan lokasi bersesuaian.

“Kita sudah bincang dengan Tuai Rumah serta penduduk setempat untuk menerima pandangan di mana lokasi sesuai. Ketua Menteri sendiri mahu lokasi baharu itu nanti berada di kawasan lebih tinggi, berhampiran jalan raya, selesa dan selamat untuk murid,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Kuala Muput, Janang Kijun berkata, beliau bersama ibu bapa yang lain berharap proses baik pulih serta pemindahan dapat dijalankan secepat mungkin.

“Kami ibu bapa berharap pemindahan sekolah ke lokasi lebih baik dapat mengelakkan proses pembelajaran anak kami terganggu akibat banjir yang sering melanda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 2:12 PM